Kita tahu sukar untuk Harimau Malaya lawan pasukan Arab, jadi harap dapat teruskan momentum – Hamidin
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin berharap pasukan kebangsaan dapat meneruskan momentum untuk perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan Oktober ini menentang pasukan New Zealand.
Hamidin berkata demikian selepas skuad Harimau Malaya berjaya ke atas pasukan dari Timur Tengah iaitu Lubanan 1-0 pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) baru-baru ini.
“Pau Marti (ketua jurulatih) cepat menerapkan sistem dengan pemain dan pemain pun sudah biasa dengan Pau Marti dan Alhamdulillah kita pun tahu sukar untuk kita bermain dengan pasukan Arab, jadi bila kita dapat menang harap momentum ini dapat diteruskan pada perlawanan persahabatan bulan depan,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas tamat perlawanan Asian Qualifiers Road to 26 (AQRT26): Kumpulan B di antara Palestin menentang Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir sama adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim.
Dalam pada itu, skuad negara yang berjaya menjulang trofi Pestabola Merdeka ke-13 mereka selepas 11 tahun dijadualkan akan bertemu dengan All Whites di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Adam Adli juga enggan mengulas lanjut mengenai ura-ura yang mengatakan bahawa padang SNBJ akan ditukar dari Zeon Zoysia kepada hybrid.
“Saya tidak boleh beri sebarang kenyataan lagi, nanti kita akan ‘update’ dari semasa ke semasa. Kita serahkan kepada PSM (Perbadanan Stadium Malaysia).”