Pencapaian atlet para di Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak jauh tersasar dari sasaran awal – Abdul Rashid

32

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub menyangkal dakwaan kononnya kontinjen Malaysia di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 gagal apabila hanya berjaya membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Menurut Abdul Rashid, pungutan pingat yang diperolehi atlet para negara hanya sedikit tersasar dari sasaran awal iaitu empat pingat emas.


“Pertama saya nak nyatakan tidak jauh tersasar dari sasaran sebenar jadi kenyataan cakap jauh tersasar itu tidak benar.

Kalau kita lihat Paralimpik di Rio dan Paralimpik di Tokyo dan hingga sekarang dia cuma 3-3-2 emas tapi bilangan pingat tetap sama,”

katanya.

Abdul Rashid pada masa sama turut berkata sasaran awal dibuat oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sendiri dan pihak MSN hanya menyokong.

Dalam pada itu, Abdul Rashid mengakui kontinjen negara gagal mencapai sasaran empat pingat emas tetapi positifnya atlet yang gagal dapat pingat emas tetap membawa pulang pingat.

“Yang tak dapat pingat emas itu dapat pingat perak dan bagi kita dapat pingat perak itu sudah cukup tinggi yang mana mereka sudah cuba untuk mendapatkan pingat emas cuma di saat-saat akhir pingat emas itu gugur ke tangan negara lain, jadi itulah adat pertandingan sukan.”

Sebelum ini, Malaysia mengekalkan rekod dengan membawa pulang tiga emas pada edisi di Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Kepulangan Kontinjen Malaysia dari Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.