Stephan Schrock setuju dengan negara ASEAN perkuat pasukan dengan pemain warisan
Bekas pemain kebangsaan Filipina, Stephan Schrock melihat perkembangan yang cukup positif dalam bola sepak di Asia Tenggara (ASEAN) apabila semakin rancak untuk memperkuatkan pasukan mereka dengan pemain warisan.
Menurut Stephan Schrock, tiada masalah untuk sesebuah negara perkuatkan pasukan dengan pemain warisan dan Indonesia telah buktikan apabila mereka kini memperlihatkan prestasi yang cukup cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya tidak melihat mengapa perkara ini tidak dilakukan oleh semua orang kerana sebagai contoh Indonesia ketika ini sangat aktif dalam merekrut pemain warisan.
Jika ada pemain yang mempunyai darah tidak kira daripada Malaysia, Filipina atau pun Indonesia jika mereka ingin bermain untuk negara saya tidak melihat ia adalah satu masalah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Stephan Schrock juga merupakan salah seorang pemain warisan Filipina yang mana beliau berdarah kacukan Filipina-Jerman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Undian Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Asia yang berlangsung di Fox Hotel Glenmarie Shah Alam, Selangor semalam.
Dalam pada itu, Stephan Schrock juga tidak bersetuju dengan pandangan segelintir pihak yang menganggap kehadiran pemain warisan menjadi penghalang kepada pemain tempatan untuk mendapat tempat dalam pasukan.
“Saya rasa tidak adil untuk berkata demikian kerana pemain-pemain yang datang dari luar negara ini sebagai contoh di Filipina, pemain-pemain ini bermain di peringkat lebih kompetitif jadi gabungan dengan pemain tempatan akan membantu pasukan.
Bola sepak bukan ‘magik’ yang mana berharap semuanya akan berjalan lancar dalam tempoh singkat sebaliknya ia bagus untuk jangka masa panjang.”