Annil Vigneswaran enggan ambil risiko main di Liga Super, mahu kekal di Eropah
Pemain kebangsaan bawah 23 tahun, Annil Vigneswaran memberitahu beliau enggan mengambil risiko untuk pulang ke tanah air untuk bermain di Liga Super Malaysia berikutan kemelut kewangan yang berlaku dalam kalangan kelab di negara ketika ini.
Menurut Annil yang kini bermain di Liga Jerman bersama kelab divisyen tiga Bundesliga iaitu SV Waldhof Mannheim 07, beliau ketika ini mahu terus kekal di Eropah dan tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan sekiranya dapat tawaran dari kelab dari negara Asia lain.
“Saya ada berhubung dengan beberapa kelab-kelab di Thailand tapi dengan kelab Malaysia tak banyak sangat.
Pada pandangan saya banyak kelab yang berdepan masalah gaji dan hanya beberapa kelab sahaja yang tiada masalah gaji seperti JDT, Selangor FC dan Terengganu FC, jadi ia berisiko untuk saya balik ke Malaysia jika tidak bermain dengan kelab yang saya katakan tadi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Annil juga memberitahu beliau mempunyai hubungan baik dengan bekas jurulatih remaja Bayern Munich dan Perak FC iaitu Datuk Lim Teong Kim yang mana beliau sering berhubung sekiranya ingin mendapatkan nasihat.
“Beliau dengan saya sangat ‘direct’ yang mana jika saya ada apa-apa soalan saya akan terus hubungi beliau dan beliau juga banyak tolong saya.
Ketika beliau mengendalikan Perak, kita ada berbincang untuk saya balik tapi masa itu saya masih terlalu awal untuk pulang.”
Sementara itu, Annil juga berterima kasih kepada pemilik kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris berikutan memberinya peluang untuk berlatih bersama kelab itu sebelum ini.