FAM perlu pantau yuran kursus jurulatih anjuran FA negeri – Coach Puteh

1,082

Seorang jurulatih bola sepak akar umbi berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memantau persatuan bola sepak negeri (FA) yang menganjurkan kursus kejurulatihan berikutan yuran yang dikenakan tidak seragam.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Coach Puteh berasa keliru apabila yuran yang dikenakan FA berbeza.


“Saya harap FAM dapat pantau kos yuran untuk kursus kejurulatihan kerana ketika ini saya sedang dalam usaha untuk mengambil lesen D tetapi apabila saya survey saya dapati yuran yang dikenakan oleh FA-FA ini berbeza.

Sebagai contoh di Selangor mereka mengenakan yuran sebanyak RM700 yang mana ia termasuk penginapan dan makan minum. Manakala Penang pula mengenakan RM750 untuk kursus sahaja tanpa penginapan dan makan minum.

Jadi saya rasa macam ada sesuatu tidak kena kerana FA ada fasiliti mereka sendiri, jadi isu berapa kos yuran sepatutnya tidak menjadi isu dan boleh diseragamkan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa sama beliau juga berharap agar tarikh kursus juga diseragamkan berikutan ketika ini ia seratus peratus bergantung kepada FA sendiri samada mahu menganjurkan kursus kejurulatihan atau tidak.

Ini kerana ramai di kalangan jurulatih sepertinya mempunyai kerja hakiki, jadi mereka terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, oleh itu beliau harap tarikh kursus dapat ditetapkan supaya mereka boleh membuat perancangan awal.