Tidak dinafikan memang ada kelab bermasalah tapi hukuman penalti bukan jalan penyelesaian – Giorgio Pompili Rossi
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) baharu, Giorgio Pompili Rossi mengakui masalah yang sedang melanda beberapa kelab ketika ini dan kelab-kelab itu akan dikenakan tindakan hukuman penalti.
Rossi bagaimanapun menekankan bahawa hukuman penalti bukanlah satu jalan penyelesaian kepada segala permasalahan yang berlaku.
“Saya ada bermesyuarat dengan badan Pelesenan Kelab baru-baru ini yang mana kami menilai status setiap kelab dan ya memang ada kelab yang mempunyai masalah yang jelas tidak boleh disembunyikan.
Tapi saya percaya sanksi atau hukuman penalti kepada kelab-kelab bermasalah bukanlah jalan penyelesaian kepada permasalahan yang berlaku.
Ia hanya proses peraturan yang perlu diikuti dan jika anda tidak ikut, anda akan dikenakan penalti,”
katanya.
Tidak dapat dinafikan saingan Liga Super musim 2024/25 tercemar dengan masalah kewangan yang agak parah berlaku kepada beberapa kelab yang secara tidak langsung menggugat kualiti liga tanah air.
Malah kemungkinan untuk kelab-kelab tersebut ‘gulung tikar’ juga besar namun Rossi berharap tiada kelab yang menarik diri dari saingan liga di pertengahan musim.
“Buat masa ini kita masih lagi belum berada di peringkat di mana kelab tidak mampu untuk menghabiskan saingan liga untuk musim ini.”
Terdahulu, Rossi telah dilantik sebagai CEO MFL yang baharu bagi menggantikan Datuk Stuart Ramalingam berikutan kontraknya tamat pada 31 Ogos lalu.