Tak mungkin ada Liga Perdana musim depan – Giorgio Pompili Rossi

34

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) baharu, Giorgio Pompili Rossi mengesahkan bahawa saingan Liga Perdana tidak akan diperkenalkan semula untuk musim hadapan sekaligus akan menjadi musim ketiga liga itu ditunda.

Menurut Rossi, untuk mewujudkan semula saingan liga divisyen dua mereka perlukan masa yang panjang untuk buat perancangan dan persediaan rapi.


“Liga Perdana musim depan? Sudah terlambat. Untuk fikir atau cuba untuk wujudkan semula divisyen dua (Liga Perdana) kita perlukan masa untuk buat persediaan semuanya.

Jadi sekarang ini sudah terlambat, tapi kita akan mempertimbangkan kerana kita tidak mahu berkata tidak atau ya kerana untuk buat perubahan kita tidak boleh buat dengan cepat tapi jika untuk musim hadapan tidak mungkin,”

katanya.

Rossi berkata demikian ketika dalam satu sidang media khas bersama pihak media selepas beliau dilantik sebagai CEO MFL yang baharu bagi menggantikan Datuk Stuart Ramalingam.

Terdahulu, kali terakhir saingan Liga Perdana diadakan adalah pada tahun 2022 yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menjadi juara musim berkenaan.

Dalam pada itu, Rossi juga berpendapat tiada masalah untuk Liga Malaysia menjadikan liga-liga di negara lain sebagai rujukan tapi beliau percaya setiap liga sepatutnya mempunyai struktur mereka sendiri.

“Saya rasa kita boleh jadikan liga lain sebagai inspirasi tapi saya percaya setiap liga perlu mempunyai struktur mereka sendiri dan bukannya ‘copy paste’ kerana setiap negara berbeza.”