Pemain cukup bermotivasi untuk aksi menentang Muangthong United – Nidzam Jamil

130

Ketua jurulatih pasukan Selangor FC, Nidzam Jamil memberitahu pemain-pemainnya cukup bermotivasi untuk perlawanan pertama Kumpulan H AFC Champions League 2 (ACL2) menentang Muangthong United FC petang ini.

Menurut Nidzam, persiapan berjalan dengan cukup lancar dengan hampir kesemua pemain sudah bersedia dan hanya dua pemain sahaja yang tidak dapat diturunkan dek kecederaan namun ia bukan satu masalah buat mereka.


“Kami cukup gembira untuk menyertai semula selepas beberapa tahun kami tidak menyertai kejohanan ini.

Persiapan pasukan kami lebih kurang seperti kelab yang lain tapi di liga kami beraksi dengan baik dan kami adalah finalis untuk Piala FA jadi saya rasa moral dan motivasi sangat baik.

Dua pemain kami berada di Malaysia kerana mengalami kecederaan tapi selain daripada itu kami gembira kerana hampir kesemua pemain dapat bermain,”

katanya.

Nidzam berkata demikian ketika sidang media sebelum perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala.

Dalam pada itu, Nidzam turut memberitahu bahawa mereka mengikuti rapat perkembangan liga bola sepak di Thailand dan beliau sendiri sudah mengikuti perkembangan Muangthong United  sejak 10 tahun yang lalu.

“Sebagai rakyat Malaysia saya fikir kami mengikuti liga Thailand secara rapat dan saya fikir untuk Muangthong United dalam tempoh 10 tahun saya menganggap mereka adalah salah sebuah kelab terbesar di Thailand.

Ya sejak kebelakangan ini prestasi mereka ada naik turun tapi tahniah kepada mereka kerana kembali di pentas Asia sama seperti kami ke ACL 2.”