Harap pemain kekal cergas tanpa sebarang kecederaan untuk AWCL – Justin Ganai
Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Sabah FA, Justin Ganai berharap jadual ketat saingan Liga Wanita Nasional (LWN) tidak akan menyebabkan pemain-pemainnya mengalami sebarang kecederaan bagi memastikan mereka cergas untuk saingan peringkat kumpulan AFC Women’s Champions League (AWCL) pada Oktober ini.
“Ya kita mengharapkan tiada kecederaan kerana kebanyakkan pemain-pemain yang kita bawa untuk beraksi di LWN ini adalah yang terlibat dengan AWCL,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Justin berkata demikian selepas tamat perlawanan LWN yang menyaksikan pasukannya berjaya menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dengan keputusan 2-0 di Stadium UiTM Shah Alam semalam.
“Melihat kepada perjalanan begitu jauh dan jadual yang begitu ketat saya fikir kemenangan 2-0 itu sudah memadai untuk kita.”
Dalam pada itu, bagi memastikan pemainnya tidak mengalami keletihan dek jadual perlawanan yang ketat beliau akan melakukan penggiliran pemain.
Untuk perlawanan LWN selepas ini Sabah akan bertemu dengan pasukan pilihan iaitu Selangor FC.