Harap MSN dapat tempatkan kembali boling padang dalam program podium – Izzat Shameer

31

Atlet boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple berharap agar Majlis Sukan Negara (MSN) dapat memasukkan semula sukan itu dalam program podium berikutan terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa sukan itu akan dipertandingkan di Sukan Komanwel akan datang.

“Saya memang berharap MSN menilai balik boling padang dan dapat tempatkan kembali boling padang dalam program podium sebab dikhabarkan pada tahun 2026 mungkin akan ada boling padang di Sukan Komanwel,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Izzat baru-baru ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia apabila beliau kini bergelar sebagai pemain boling padang No. 1 Dunia.


Untuk tahun ini, beliau berjaya memperoleh pingat emas dalam acara perseorangan Kejohanan Padang Asia 2024 dan pingat emas di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.

“Saya masih teruja dengan pencapaian ini.”

Dalam pada itu, Izzat yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam sukan itu berkata bukan mudah untuk dirinya mendapat status sebagai No. 1 Dunia kerana banyak pengorbanan yang dilakukannya.

“Untuk saya dua tahun kebelakangan ini memang bergelut sebab kurang latihan tapi saya ambil inisiatif sendiri selepas habis kerja pergi latihan juga termasuk terpaksa mengorbankan cuti hujung minggu untuk berlatih.”

Sementara itu, Izzat juga memberitahu beliau akan menyertai dua kejohanan pada bulan November ini iaitu Hong Kong Championship dan World Championship untuk acara perseorangan.