Mahu teruskan momentum untuk cuba jadi juara Borneo Cup – Shareef Ikssan

40

Penyerang pasukan TSS Selangor, Shareef Ikssan mahu pasukannya teruskan momentum cemerlang pada hari kedua kejohanan Borneo Cup 2024 kerana sasaran mereka adalah untuk menjadi juara pada edisi kali ini.

“Harapan untuk esok (hari ini) adalah untuk terus menang dalam perlawanan-perlawanan yang dihadapi sehingga kami berjaya jadi juara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Shareef, bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai beliau dan rakan sepasukan akan mengikut segala perancangan daripada jurulatih selain terus kekal fokus dan berdisiplin sepanjang perlawanan.


Pada hari pertama kejohanan TSS Selangor berjaya memperoleh kemenangan besar dan Shareef bersyukur apabila mereka dapat terjemahkan perancangan jurulatih di atas padang.

“Alhamdulillah kami menang dan dapat laksanakan apa yang jurulatih mahu. Pasukan lawan juga bermain dengan baik dan kami berdepan sedikit cabaran.”

Pada kejohanan yang sedang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, pasukan TSS Selangor berjaya menewaskan pasukan Anak Badak dengan keputusan 8-0 dan MMT juga dengan keputusan 8-0.

Dalam pada itu, Shareef turut menyatakan impiannya untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan Harimau Malaya satu hari nanti.

“Cita-cita saya nak main untuk Malaysia dan juga kelab gergasi JDT.”

Beliau pada masa sama turut menjadikan pemain sensasi Harimau Malaya iaitu Safawi Rasid dan Arif Aiman sebagai idolanya.