Liga M bakal ditunda?

107

Kehangatan musim baru liga bola sepak Malaysia 2022 kini semakin hangat terasa. Pelbagai persiapan telahpun dilakukan oleh pasukan-pasukan yang bersaing.

Para penyokong pula seolah tidak sabar untuk kembali ke stadium menjelang sepakmula liga Malaysia yang akan bermula pada awal bulan Mac. Namun, terdapat juga sedikit bayangan bahawa berkemungkinan besar penonton akan kembali tidak dibenarkan untuk masuk ke stadium.


Menjelang perlawanan merebut Piala Sumbangsih di antara JDT dan KL City FC pada 26 Februari ini, masih tidak pasti sama ada perlawanan akan dijalankan dengan kehadiran penonton ataupun sebaliknya.

Hal ini berikutan berlakunya peningkatan kes harian Covid-19 sepertimana yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang menjangkakan kes akan melonjak naik puluhan ribu menjelang bulan Mac nanti.

Sudah pasti perkara ini tidak digemari oleh penyokong-penyokong bola sepak Malaysia yang sangat dahagakan aksi bola sepak tempatan secara langsung di depan mata. Kepuasan memberikan sorakan kepada pasukan yang disokong tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa.

Berita kurang enak dari Kemboja yang memperlihatkan dua buah pasukan Indonesia dan Myanmar telah menarik diri berikutan ancaman Covid-19 yang berlaku dalam pasukan mereka. Nasib skuad muda kebangsaan juga hampir serupa apabila terdapat pemain yang terpaksa melupakan kejohanan ini akibat daripada positif Covid-19.

Yang terbaru, pasukan Sri Pahang FC yang sepatutnya turun menentang KL City FC dalam perlawanan persahabatan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan terpaksa menarik diri akibat daripada kes positif Covid-19 dalam pasukan.

Belumpun liga bermula, timbul sedikit kebimbangan jika keadaan bertambah buruk apakah liga akan dihentikan? Menarik untuk melihat apakah tindakan seterusnya oleh MFL jika kes-kes positif Covid-19 kepada pasukan-pasukan bertanding semakin buruk?

Adakah MFL sebenarnya mempunyai perancangan tambahan jika perkara yang tidak diingini berlaku? Di sini kita akan dapat melihat kredibiliti MFL sebagai badan pentadbir liga Malaysia dalam memastikan perjalanan liga Malaysia berlangsung dengan baik.

Jika liga diberhentikan terus, apa pula nasib pemain-pemain terutamanya yang dipanggil untuk menghadapi kejohanan-kejohanan penting sepanjang tahun 2022? Misalnya, skuad bawah 23 tahun negara ada beberapa kejohanan penting seperti Sukan Sea Hanoi 2022, Piala Asia bawah 23 tahun di Uzbekistan dan Sukan Asia Hangzhou.

Persiapan rapi hendaklah dilakukan. Jika liga diberhentikan terus, di mana lagi pemain-pemain ini dapat mengumpulkan minit permainan dan membentuk keserasian?

Belum dikira lagi bagaimana pencapaian skuad senior kebangsaan yang berada di bawah kejurulatihan baru. Slot ke Piala Asia 2023 di China sudah pasti menjadi sasaran utama pengendali baru dari Korea Selatan, Kim Pan-Gon. Situasinya hampir sama dengan skuad muda negara, jika tidak dapat mengumpulkan minit permainan yang cukup, bagaimana mahu dibentuk skuad terbaik?

Sekiranya liga cuma ditunda sekalipun, ianya tetap akan mengganggu persiapan pasukan kebangsaan secara khususnya. Lihat sahajalah jadual liga Malaysia yang tidak masuk akal pada musim lepas di mana perlawanan akhir Piala Malaysia cuma beberapa hari sebelum pemain-pemain berangkat ke Singapura untuk Piala AFF 2021.

Kita tunggu apa perancangan MFL dalam memastikan kelangsungan perjalanan liga Malaysia bagi musim 2022 kali ini.