Posisi penyerang dikuasai pemain import jadi punca Malaysia tiada penyerang berkualiti – Fakri Saarani

481

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani mengakui pasukan Malaysia kini tumpul di bahagian serangan kerana ketiadaan penyerang prolifik.

Menurut Fakri, perkara ini berlaku bukan kerana negara tidak mempunyai ramai penyerang berkualiti tetapi posisi sebagai penyerang utama dalam pasukan-pasukan di Liga Malaysia didominasi oleh pemain import.


“Pendapat ikhlas saya untuk penyerang skuad kebangsaan kita, kita ada penyerang tapi kebanyakkan mereka tidak bermain di posisi penyerang utama nombor 9 dan 10, sebaliknya mereka banyak bermain di sebelah kiri dan kanan.

Sebabnya posisi penyerang tengah itu dikuasai oleh pemain import, sebab itu skuad negara berdepan masalah tiada penyerang utama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Fakri lagi, berikutan sering bermain sebagai penyerang di sebelah kiri dan kanan, apabila mendapat dipanggil kem Malaysia pemain-pemain ini akan bergelut untuk bermain di posisi penyerang tengah.

Dalam pada itu, ditanya mengapa beliau memilih BRM FC sebagai pasukan barunya untuk musim ini, Fakri mendedahkan beliau ada sebab-sebab tertentu mengapa beliau memilih kelab berpengkalan di Kuala Kangsar, Perak.

“Saya pada mulanya ingat mahu bermain di sekitar Lembah Klang, tapi atas sebab-sebab tertentu dan selepas perbincangan dengan bos BRM, saya ambil keputusan untuk bermain dengan di sini.”

Walaupun bermain di liga amatur, faktor kecekapan pihak pengurusan dan perancangan jangka masa panjang menjadi salah satu faktor menarik minatnya untuk bersama BRM FC.

Sementara itu, BRM FC menjadi pasukan pilihan yang dijangka mampu mendominasi saingan Liga M3 dan sekiranya mereka mampu berbuat demikian, ia dapat merealisasikan sasaran BRM yang mahu bermain di Liga Perdana pada 2023.