Pemain Sabah FA buktikan mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa – Shahelmey Yahya
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya mengakui semangat juang tinggi, disiplin dan punya kemahuan menjadi bukti bahawa pasukan itu kini bukan sahaja mampu bersaing di peringkat domestik sahaja tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Mereka (Sabah) ada kemahuan dan yang paling penting untuk membuktikan mereka boleh bersaing bukan sahaja di peringkat negeri, kebangsaan tetapi juga peringkat antarabangsa,”
katanya.
Shahelmey berkata demikian selepas pasukan bola sepak Sabah yang berangkat ke Wuhan, China untuk aksi peringkat kumpulan AFC Women’s Champions League (AWCL) yang akan berlangsung dari 3 hingga 9 Oktober 2024.
Untuk saingan peringkat kumpulan, Sabah telah diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah iaitu Wuhan Jiangda, Incheon Red Angels (Korea Selatan) dan Abu Dhabi Country Club (UAE).
Dalam pada itu, Shahelmey turut bangga dengan pencapaian pasukan bola sepak Sabah dan berharap mereka dapat melakar kejayaan mara ke peringkat suku akhir.
“Sekiranya mereka dapat layak ke peringkat lapan teratas (suku akhir) itu adalah satu pencapaian yang begitu baik sekali.
Jadi sama-samalah kita memberi sokongan dan mendoakan kejayaan mereka.”
Sementara itu, Sabah hanya memerlukan satu kemenangan sahaja untuk mencerahkan peluang mereka mara ke peringkat kalah mati AWCL.