Eri Narita yakin Sabah FA kini lebih mantap dengan kehadiran pemain baru
Pemain import Sabah FA, Eri Narita menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan pasukannya untuk bersaing di AFC Women’s Champions League (AWCL) selepas pasukan itu diperkuat dengan beberapa pemain import baru.
“Kehadiran dua pemain import baru akan membuatkan kita boleh bermain dengan lebih baik dan pasukan kini lebih kuat,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Sabah yang akan memulakan kempen peringkat kumpulan AWCL yang bermula hari ini telah menandatangani dua pemain import baharu dari Jepun iaitu Saki Ueno dan Aoi Kizaki.
Eri turut menyuarakan keyakinan bahawa pasukannya boleh mendapat tiga mata penuh apabila turun menentang Incheon Red Angels.
“Saya percaya Sabah boleh menang.”
Beliau pada masa sama memberitahu bahawa mereka teruja dan tidak sabar untuk mempamerkan kemampuan bersaing di peringkat Asia.
Sabah telah diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Wuhan Jiangda, Incheon Red Angels (Korea Selatan) dan Abu Dhabi Country Club (UAE).