Saya memang nak hatrik tapi 1 gol cukup untuk bawa pulang tiga mata – Yohandry Orozco

29

Pemain tengah import Selangor FC, Yohandry Orozco memberitahu bahawa beliau sepatutnya boleh menjaringkan hatrik pada perlawanan semalam selepas mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi tetap berpuas hati dapat menjaringkan satu gol buat pasukannya.

Menurut Orozco, biarpun hanya berjaya menjaringkan satu gol tetapi beliau tetap gembira apabila berjaya membantu Selangor untuk bawa pulang tiga mata penuh.


“Saya memang nak jaringkan hatrik selepas mempunyai tiga peluang terbaik kerana jika berjaya anda tidak akan berdepan banyak masalah daripada pasukan lawan tapi hari ini bernasib baik kerana satu gol kita berjaya dapatkan tiga mata penuh di tempat sendiri,”

katanya.

Pada perlawanan kedua peringkat kumpulan AFC Champions League 2 (ACL2) yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBSJ) skuad Gergasi Merah berjaya mencipta kemenangan pertama mereka ke atas Cebu FC.

Dalam pada itu, Orozco turut memberi pujian kepada rakan sepasukannya penyerang Ronnie Fernandez yang bekerja keras biarpun tidak dapat menjaringkan gol.

“Saya rasa Ronnie adalah pemain serangan yang bagus dan kami cuba bermain satu dua untuk beliau dapat menjaringkan gol dan saya tahu sukar untuk kami tapi apa yang penting kita dapat tiga mata penuh.”

Kemenangan semalam telah menyaksikan Selangor kini berada di kedudukan kedua Kumpulan H dengan empat mata, dua mata dibelakang Jeonbuk Hyundai Motors.