Kita akan pastikan mereka dapat juga satu atau dua aksi persahabatan – Cameron Ng

117

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-17, Cameron Ng memberitahu bahawa pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan cuba memastikan bahawa pasukannya dapat mengharungi sekurang-kurangnya satu atau dua perlawanan persahabatan dalam masa terdekat ini.

Menurut Cameron, buat masa ini tiada lagi sebarang pengesahan mengenai pasukan yang akan menjadi lawan Malayan Tigress B-17 dan perkara itu akan dimuktamatkan dalam tempoh beberapa hari lagi.


“Sekarang ini pihak pengurusan sedang mencari jalan penyelesaian dan saya rasa sebelum kita lepaskan pemain-pemain ini kita akan pastikan dapatkan satu atau dua perlawanan persahabatan.

Siapa dan dimana kita masih belum dapat pengesahan rasmi tapi kita harap dapat sahkan dalam tempoh beberapa hari ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Cameron berkata demikian selepas pasukannya yang sepatutnya berlepas ke Amman, Jordan pada Rabu untuk mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.

Dalam pada itu, Cameron mengakui moral pemain-pemainnya sedikit terjejas selepas tidak dapat terbang ke Jordan namun kini sudah kembali bersemangat dalam sesi latihan.

“Mula-mula bila tak dapat naik ‘flight’ memang ‘down’ dan sedih tapi yang bagusnya mereka sudah kembali seperti biasa. Mereka sedih sekejap sahaja dan kelmarin sesi latihan kita berjalan cukup baik.”

Sementara itu Cameron juga memuji anak buahnya yang komited sepanjang sesi latihan dan sentiasa cuba untuk tingkatkan kualiti dari hari ke hari.