Vantra Premier Invitational Social League utamakan keselamatan & tiada ruang untuk ‘hooliganism’
Tidak dapat dinafikan penganjuran liga bola sepak sosial kini semakin berkembang seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ yang mana boleh dikatakan setiap negeri mempunyai banyak liga sosial yang berjalan sepanjang tahun dan Vantra Premier Invitational Social League 24/25 antara salah satunya.
Namun apa yang menarik mengenai Vantra Premier Invitational Social League ini adalah pihak penganjuran sangat menekankan mengenai keselamatan kesemua pihak yang terlibat dalam liga tersebut bagi mewujudkan suasana selamat untuk semua.
Menurut Presiden VPL iaitu Mr. Hardev, sebagai penganjur liga pihaknya akan pastikan liga ini selamat untuk semua dan akan memastikan tiada ruang untuk ‘hooliganism’.
“Saya sangat gembira melihat mereka teruja dapat bermain dalam liga ini dan saya berharap liga seperti ini dapat buat perubahan yang mana pasukan yang bersaing gembira bermain dalam liga ini yang mana kami memberikan atmosfera yang hebat.
Oleh sebab itu pentingnya untuk pemain-pemain ini berasa selamat kerana jika mereka tidak berasa selamat mereka tidak akan bermain dalam liga ini.
Jadi di sinilah kami sebagai penganjur tekankan yang mana setiap orang perlu selamat dan setiap orang perlu pastikan tiada ruang untuk ‘hooliganism’,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Hardev lagi, beliau bertekad mahukan perubahan dalam liga sosial yang mana semua sedia maklum sering terpalit dengan insiden-insiden keganasan sehingga menjadi kes polis.
Dalam pada itu, Hardev juga menyeru agar pengadil-pengadil yang mengadili perlawanan di semua liga sosial di seluruh negara supaya bersikap lebih tegas lagi dalam mengadili perlawanan supaya dapat mengelak dari insiden tidak diingini berlaku.
“Pengadil perlu bersikap lebih tegas dan saya bukan bercakap mengenai liga Vantra sahaja tapi untuk semua liga sosial di luar sana yang mana pengadil perlu tegas dalam mengawal perlawanan.
Memang pengadil juga perlu jaga keselamatan diri tapi pengadil juga perlu tegas supaya perlawanan tersebut berada di bawah kawalannya dan bukannya pemain yang mengawal perlawanan, jadi pengadil perlu tegas dalam membuat keputusan-keputusan penting bagi memastikan kelancaran perlawanan.”
Vantra Premier Social League yang berlangsung di J Arena Iskandar Puteri, Johor akan menyaksikan sebanyak lapan pasukan terbaik akan bersaing dalam format ‘home’ dan ‘away’ untuk merebut kejuaraan liga musim 2024/25.