Tak jadi masalah tiada Dion Cools sebab kita ada ramai pemain boleh isi posisi itu – Syamer Kutty Abba

33

Pemain tengah pasukan kebangsaan, Syamer Kutty Abba tidak melihat ketiadaan ketua pasukan Dion Cools dalam pasukan untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Auckland, New Zealand nanti tidak menjadi masalah besar buat pasukan.

Menurut Syamer, banyak pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya mempunyai kemampuan untuk mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Cools.


“Kita tahu Dion Cools adalah ketua pasukan kami tapi dia tak dapat datang sebab masalah keluarga tapi ia tidak menjadi masalah sebab kita ada ramai pemain yang boleh mengisi peranan Cools.

Dan ini juga memberi peluang kepada pemain lain untuk ‘step up’ dan beri satu penambahan buat pasukan juga,”

katanya.

Syamer berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana skuad Harimau Malaya akan menentang pasukan New Zealand pada 14 Oktober ini.

Dalam pada itu, Syamer berkata aksi menentang New Zealand di tempat lawan adalah satu peluang terbaik buat pasukan untuk melihat sejauh mana kemampuan mereka dan pada masa sama dapat memperbaiki kelemahan.

“Ini adalah satu pengalaman baru kami semua, pergi ‘away’ dan berlawanan dengan pasukan lebih bagus dari kami. Ini adalah persiapan yang baik kerana saya rasa ini adalah salah satu perlawanan persahabatan baik buat pasukan untuk melihat sejauh mana kemampuan kita dan untuk kita ‘improve’ kelemahan yang ada untuk kita jadi lebih baik di masa hadapan.”

Beliau pada masa sama turut menyambut baik percaturan yang dilakukan ketua jurulatih Pau Marti yang menggabungkan antara pemain berpengalaman dan pemain muda yang mana ia akan memberi satu dinamik baru.

“Ia satu perkara yang baik bila ada ‘mix’ pemain muda dan pemain senior yang mana ia akan beri satu dinamik yang baru untuk pasukan.”