Pau Marti utamakan aksi persahabatan berkualiti untuk persiap pasukan bagi kelayakan Piala Asia 2027
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Pau Marti memberitahu keutamaan beliau adalah untuk cuba mendapatkan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan pasukan yang lebih berkualiti sebagai persiapan sebelum mereka mengharungi kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada bulan Mac 2025.
“Selepas kita terlepas kelayakan Piala Dunia 2026 pada Jun lalu namun kita akan mengharungi kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan jadi bagi saya sangat penting untuk cuba dapatkan perlawanan persahabatan berkualiti untuk persiap pasukan.
Jika kita mendapat lawan yang lebih berkualiti, persiapan kita akan menjadi lebih baik untuk persiapkan pasukan untuk kelayakan Piala Asia,”
katanya.
Pau Marti berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana skuad negara akan terbang ke Auckland, New Zealand untuk menghadapi perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand pada 14 Oktober ini.
Dalam pada itu, Pau Marti turut mendedahkan bahawa skuad Harimau Malaya tidak akan berdepan dengan pasukan kebangsaan All Whites sahaja sebaliknya mereka akan turut turun beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab di sana.
“Kita juga akan bermain dalam satu perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab di sana yang mana ia sebuah kelab yang kuat jadi saya rasa ia bagus kerana pemain-pemain lain akan berpeluang untuk turun bermain dan barisan kejurulatihan berpeluang untuk membuat penilaian terhadap kemampuan setiap pemain.”
Sementara itu, Pau Marti juga tidak melihat ketiadaan ketua pasukan Dion Cools kali ini sebagai satu masalah besar kerana beliau mempunyai ramai pemain yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain itu.
Terdahulu, Cools tidak dapat menyertai skuad negara kerana mempunyai urusan keluarga yang perlu diselesaikan.