Impian saya mahu dapat biasiswa dan bermain di liga profesional luar negara – Harrienianeeka Indran
Pemain pasukan kebangsaan Malayan Tigress B-17, Harrienianeeka Indran memasang impian untuk bermain di liga profesional di luar negara satu hari nanti.
“Saya pasang impian untuk bermain di luar negara dan dapat biasiswa dan jika boleh saya juga mahu bermain di liga bola sepak wanita profesional,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Harrienianeeka juga berasa cukup teruja apabila beliau akhirnya mendapat peluang untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan buat pertama kali.
Biarpun berasa sedikit gemuruh, tetapi Harrienianeeka bangga apabila impiannya sejak berusia tujuh tahun menjadi kenyataan.
Dalam pada itu, Harrienianeeka juga berkata beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura.
“Latihan berjalan dengan lancar yang mana banyak yang kami pelajari sepanjang tempoh kem latihan pusat. Latihan dijalankan juga sangat berintensiti tinggi kerana kita sebelum ini sepatutnya bermain perlawanan di Jordan tapi kini akan bermain di Singapura.”
Terdahulu Malayan Tigress B-17 sepatutnya terbang ke Jordan untuk mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 tetapi terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.
Pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah pantas mengambil tindakan dengan mengatur perlawanan persahabatan baru dan berjaya mendapatkan dua perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Kallang Football Hub pada 7 dan 10 Oktober ini.