Ayuh meriahkan jelajah trofi Piala AFF 2024 di KL hujung minggu ini

49

Jelajah pameran trofi Piala ASEAN 2024 (AFF) akan meneruskan perjalanannya ke perhentian ketiga di Kuala Lumpur pada Sabtu ini sebagai sebahagian daripada kembaranya ke seluruh Asia Tenggara.

Kehadiran tiga serangkai tonggak pasukan Malaysia yang muncul juara pada 2010 iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli, dan Amri Yahyah akan mewarnai pameran trofi yang diidam-idamkan seluruh rantau Asia Tenggara Itu di Centre Court, AEON Shah Alam, bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.


Kemasukan ke acara ini yang menawarkan pelbagai pengalaman Istimewa adalah percuma manakala Pas “Meet & Greet” boleh dimenangi melalui laman web Asean United FC dan platform media sosial @aseanutdfc.

Pada hari tersebut, Norshahrul, Mahali dan Amri akan menghadiri klinik bola sepak khas buat kelompok pemain muda yang bercita-cita tinggi.

Klinik tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan oleh rakan tajaan utama, Mitsubishi Electric, sempena Jelajah Piala AFF 2024.

Klinik berkenaan yang dikendalikan oleh jurulatih kelab FC Imabari, akan mendedahkan peserta kepada permainan mini menggunakan kaedah ‘Okada’, yang dinamakan sempena nama bekas jurulatih Jepun, Takeshi Okada.

Okada terkenal kerana membawa Jepun ke Piala Dunia FIFA pertama mereka pada 1998 dan ke peringkat kalah mati pada Piala Dunia FIFA 2010.

Kejohanan Piala AFF 2024 adalah pertandingan bola sepak utama di rantau ini dan kembali untuk edisi ke-15 pada Disember ini, dengan Thailand bersiap sedia mempertahankan gelaran yang mereka menangi buat kali ketujuh pada 2022.

Sejak kewujudan kejohanan ini selama 28 tahun, kejohanan ini telah berkembang daripada kejohanan berpusat selama dua minggu kepada pertandingan timbal balik sepanjang enam minggu yang dimainkan di stadium penuh sesak merentasi Hanoi, Bangkok, Manila dan Jakarta.

Jelajah Trofi Piala AFF2024 telah singgah di Bangkok dan Singapura sebelum ini dan akan ke Hanoi pada 26 Oktober dan Jakarta pada 2 November sebelum berakhir di Manila pada 9 November.

Edisi 2024 Piala AFF 2024 akan bermula dengan perlawanan kelayakan dua pusingan pada 8 dan 15 Oktober yang menemukan Brunei dan Timor-Leste. Pemenangnya akan layak ke peringkat kumpulan yang bermula pada 8 Disember nanti.