Memang kita tidak setaraf tapi ini peluang untuk pemain bermain dengan pasukan gergasi – Justin Ganai

193

Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Sabah FA, Justin Ganai mengakui jurang besar diantara pasukannya dengan pasukan lain dalam Kumpulan A menjadi cabaran terbesar mereka untuk kempen AFC Women’s Champions League (AWCL).

Justin bagaimanapun berkata penyertaan mereka di pentas Asia ini memberi ruang dan peluang kepada pemain-pemainnya untuk merasai sendiri pengalaman beraksi dengan pasukan gergasi di Asia.


“Saya beritahu pemain-pemain saya untuk turun beraksi dan memberikan semuanya serta buat yang terbaik dan juga ‘enjoy the game’ kerana ini adalah peluang terbaik untuk mereka untuk bermain dengan pasukan gergasi seperti Abu Dhabi.

Kami tahu kami tidak setaraf tapi ini adalah peluang untuk pemain bermain dengan pasukan gergasi di kejohanan ini,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang akan menyaksikan Sabah akan turun menentang Abu Dhabi Country Club petang esok.

Dalam pada itu, Justin turut mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menganjurkan Liga Wanita Nasional (LWN) yang menyaksikan Sabah menjadi juara dan mendapat peluang untuk beraksi di pentas Asia.

“Bagi kami menang atau kalah ia adalah satu pencapaian buat kami kerana ini adalah penampilan pertama kami di pentas Asia.”

Sementara itu, pemain import Sabah iaitu Saki Ueno pula berkata beliau akan buat yang terbaik untuk perlawanan terakhir esok pada masa sama mahu ‘enjoy’.

Sabah telah pun mengharungi dua perlawanan yang menyaksikan mereka tewas dalam kedua-dua perlawanan itu; tewas 3-0 kepada Incheon Red Angels (Korea Selatan) dan 7-0 kepada Wuhan Jiangda (China).