Malvis Chee harap liga profesional HOK dapat diwujudkan di Malaysia
Pengurus pasukan e-sukan Honor of Kings (HOK) Malaysia Team Secret, Malvis Chee berharap agar permainan mudah alih HOK dapat diperluaskan lagi di Malaysia supaya ia dapat lebih dikenali di seluruh negara.
“Saya rasa kita perlukan lebih banyak ‘event’ seperti di Jakarta, Indonesia yang mana di sana banyak ‘event’ dan kejohanan dianjurkan jadi saya harap di Malaysia ‘event’ seperti ini dapat kerap dianjurkan lebih banyak.
Kita perlu beri peluang kepada lebih ramai untuk bermain permainan ini. Ketika ini di Malaysia kita tiada saingan liga profesional,”
katanya.
Malvis berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum berlepas ke kejohanan Honor of Kings Championship 2024 di Jakarta bermula 12 hingga 27 Oktober ini.
Dalam pada itu, Malvis juga enggan meletak sasaran terlalu tinggi sebaliknya mahu fokus pada aksi peringkat kumpulan terlebih dahulu.
“Kita akan fokus pada peringkat kumpulan terlebih dahulu dan kemudian peringkat lapan terbaik sebelum tiga terbaik.”