Intan Serah bersyukur sasaran untuk bawa pulang sekurang-kurangnya 1 mata di AWCL jadi kenyataan

26

Penyerang pasukan Sabah FA, Intan Serah bersyukur apabila sasaran mereka untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata di AFC Women’s Champions League (AWCL) menjadi kenyataan selepas mereka berjaya mengikat Abu Dhabi Country Club dengan keputusan 2-2 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Itu orang cakap satu keajaiban juga sempena dengan semangat kami sebagai satu pasukan memang kita nak ‘all out’ untuk perlawanan terakhir AWCL ini yang mana kita cakap apa pun jadi kita nak balik dengan satu mata atau dapat tiga mata itu bonus.

Jadi bila dapat satu mata itu Alhamdulillah rezeki,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan tersebut Intan berkata mereka bermain dengan baik sekali apabila berjaya mendahului dengan satu jaringan.


Mereka merancang untuk mempertahankan kelebihan itu namun semuanya berubah apabila seorang pemain Sabah dilayangkan kad merah.

“Bila pengadil layangkan kad merah kerana merasa sedikit ‘down’ sebab 10 minit pertama kita bermain dengan menyerang dan tidak bertahan jadi kami jangka boleh menang tapi bila dapat kad merah Steffi cakap kita pertahankan kedudukan 1-0 dan kita boleh menang.

Tapi kita tak bernasib baik apabila sepakan percuma mereka berjaya membuahkan hasil jadi percaturan berubah.”

Intan bagaimanapun tetap bangga dengan persembahan pasukan yang telah membuktikan mereka mampu untuk bersaing di peringkat Asia.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokongnya dan bola sepak wanita.

“Memang kita seri tapi kita sudah buktikan kita boleh lawan mereka jadi ini memberi bayangan kita mempunyai peluang yang cerah di masa hadapan.”