Liga profesional, tetapi stadium sendiri?

551

KDA FC baru-baru ini mengumumkan perancangan untuk membina stadium sendiri yang bernilai RM 70 juta. Stadium yang bakal dibina itu terletak di Sungai Petani dan akan merangkumi pusat latihan dan ruang terbuka untuk kegunaan orang ramai.

Langkah tersebut sebenarnya amat baik sebagai salah satu perancangan jangka masa panjang memandangkan kebanyakan pasukan yang beraksi di liga-liga utama Malaysia tidak mempunyai venue perlawanan sendiri dan hanya menjadi penyewa.


Bukan sekali dua isu yang membabitkan pertelingkahan di antara pemilik stadium iaitu kerajaan negeri dengan pasukan bola sepak yang beraksi di Liga Malaysia.

Selangor misalnya, pasukan yang gah dengan pelbagai kejuaraan domestik sehingga kini masih tidak mempunyai stadium sendiri. Stadium Shah Alam yang sekian lama menjadi gelanggang keramat pasukan Gergasi Merah kini terbiar sepi tanpa sebarang penambahbaikan.

Biarpun mempunyai padang latihan yang boleh dikatakan gah, namun tidak dapat dipastikan mengapa pasukan sebesar Selangor FC masih tidak mempunyai venue perlawanan sendiri.

Mungkin juga pasukan-pasukan bertanding tidak mahu dibebankan dengan kos tambahan penyelenggaraan stadium yang memakan belanja yang mahal. Sudahlah perbelanjaan pasukan setiap musim juga mahal, nak ditambah pula kos-kos lain.

Isu-isu seperti keadaan padang yang teruk, fasiliti-fasiliti asas seperti kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU), tandas dan surau sering ditimbulkan penonton-penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di stadium.

Di Malaysia, cuma terdapat dua pasukan yang memiliki pemilikan penuh stadium tidak kiralah untuk Liga Super mahupun Liga Premier.

Yang pertama sudah pastilah kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT). Stadium baharu kelab Harimau Selatan itu, Stadium Sultan Ibrahim kini menjadi venue tumpuan dengan menyediakan fasiliti-fasiliti bertaraf antarabangsa.

Sumber: Johor Southern Tigers FB

Hasilnya, stadium milik penuh pasukan bola sepak JDT ini sering menjadi tumpuan pemerhati bola sepak tempatan dan antarabangsa. Stadium ini juga pernah dinobatkan sebagai ‘Stadium Of The Year’ pada tahun 2020.

Sebuah lagi pasukan yang memiliki stadium sendiri adalah pasukan Felda United. Stadium Tun Razak yang menjadi venue utama pasukan ini terletak di Jengka, Pahang. Stadium yang mempunyai padang rumput tiruan ini mampu memuatkan seramai 25,000 orang penonton pada satu-satu masa.

Sumber: Stadium Tun Abdul Razak FB

Sayangnya, pasukan Felda United tidak lagi beraksi dalam kancah saingan Liga Malaysia apabila menarik diri daripada beraksi dalam Liga Premier untuk musim 2021 selepas menduduki tangga ke-11 saingan Liga Super 2020.

Selain daripada dua venue ini, kesemua stadium adalah milik penuh kerajaan negeri yang melihatkan bahawa pasukan-pasukan yang bertanding hanya menjadi penyewa dengan membayar kos sewaan sahaja.