Aksi menentang Jepun, siapa yang bagi 100% dia akan berjaya – Razman Roslan

809

Pemain pasukan kebangsaan Malaysia 7s, Razman Roslan tidak gentar untuk turun beraksi esok menentang juara bertahan Jepun pada perlawanan separuh akhir Asia 7s Championship 2024 kerana baginya mana-mana pasukan yang berikan 100% pastinya akan mendapat kejayaan.

“Untuk saya ‘simple’ saja, siapa yang bagi 100% dan bekerja keras di atas padang dia akan berjaya. Kita akan turun beraksi sama sepertimana setiap perlawanan yang kita main.

Dengan sokongan daripada penyokong-penyokong yang datang bagi kita semangat dan insyaAllah apa pun saya rasa rezeki itu Allah yang tentukan. Kami dalam padang hanya bekerja untuk buat yang terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Skuad Malaysia 7s berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pasukan Singapura 5-1 pada aksi suku akhir yang cukup menarik.


Terdahulu pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B, anak buah Sulaiman berjaya membenam Hong Kong dengan keputusan 9-0.

Razman mengakui Jepun adalah sebuah pasukan yang cukup hebat kerana mereka sertai kejohanan ini dengan persiapan yang cukup rapi.

Tambahnya lagi, selain persiapan rapi di negara Matahari Terbit itu juga mempunyai saingan liga profesional tujuh sebelah.

“Jepun memang sebuah pasukan yang baik kerana mereka membuat persiapan cukup rapi untuk menyertai kejohanan ini dan tambahan pula mereka mempunyai liga 7s sendiri.”

Dalam pada itu, Razman juga tidak menjangka bahawa mereka mampu untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir kerana skuad dibentuk dalam tempoh yang cukup singkat dan barisan pemain pula adalah gabungan bekas pemain kebangsaan dan pemain muda.

“Sebenarnya memang kita tak jangka sebab kita baru tiga minggu dengan hanya menjalani enam sesi latihan sahaja dan pemain-pemain yang ada juga dipanggil di saat-saat akhir.

Jadi dengan sasaran sampai ke separuh akhir ini sudah cukup terbaik kerana kita adalah sebuah pasukan yang baru berbanding pasukan-pasukan lain yang sudah profesional dalam bola sepak 7s ini.”

Sementara itu, Razman turut teruja melihat ramai penyokong yang hadir untuk menyokong mereka beraksi biarpun masih kurang faham dengan peraturan tujuh sebelah ini.

“7s ini bagi saya ia menghiburkan kerana ia perlawanan yang memerlukan gol dan tidak boleh bertahan kerana bermain bertahan belum tentu boleh menang jadi saya penyokong yang datang seronok menonton perlawanan ini.”

Please rotate your device