Kekalahan kepada MV adalah ‘wake-up call’ kepada pasukan – Simon Lee

20

Ketua pasukan e-sukan Selangor Red Giants (SRG), Simon Lee menganggap kekalahan kepada Monster Vicious (MV) pada perlawanan minggu kelima saingan Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) musim ke-14 sebagai ‘wake-up call’ untuk pasukannya.

Menurut Simon, pemain-pemain juga terkejut selepas rekod tanpa kalah SRG dalam 19 perlawanan lebur di tangan MV.


“Saya berasa sedih sebab sudah lama tak rasa kekalahan. Pemain-pemain juga terkejut tapi pasukan MV adalah pasukan yang kuat jadi kami tewas kepada pasukan yang lebih baik.

Tapi sudah semestinya kekalahan ini adalah salah satu ‘wake-up call’ untuk para pemain dan barisan kejurulatihan yang mana mereka sudah berjanji akan cuba buat yang terbaik dan benda ini tidak akan terjadi lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Simon berkata demikian selepas tamat perlawanan minggu terakhir MPL MY musim ke-14 yang menyaksikan pasukannya SRG berjaya menewaskan pasukan Team HAQ dengan keputusan 2-0.

Dalam pada itu, menjelang aksi ‘play-off’ MPL MY yang akan berlangsung tidak lama lagi Simon berkata pihak pengurusan memberi cuti selama tiga hari kepada semua pemain dan jurulatih untuk berehat seketika sebelum kembali turun berlatih untuk buat persiapan.

“Apabila masuk ke ‘play-off’ ini semuanya sudah reset balik kerana apa yang berlaku pada ‘regular season’ dah tak kira dan enam pasukan ini akan berlatih bersungguh-sungguh dan semua akan ‘all out’.

Bagi kita, kita pun akan berlatih bersungguh-sungguh dan buat yang terbaik untuk dapatkan tiket ke M6.”