Pau Marti mohon maaf kepada peminat atas kekalahan kepada New Zealand

2,367

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Pau Marti memohon maaf atas kekalahan skuad negara kepada pasukan New Zealand 4-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 sebentar tadi.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada peminat yang menyokong skuad negara baik di Malaysia dan juga kepada peminat yang datang menyaksikan perlawanan di sini yang mana mereka mahu melihat pasukan ‘perform’ tapi kami tidak dapat melakukannya.

Pada pandangan saya kita berdepan dengan pasukan yang kuat sejak saya mengambil alih pasukan dan bagi saya ia satu pengalaman dan pengajaran yang bagus untuk kesemua pemain,”

katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland tadi, skuad Harimau Malaya bermain dengan agak baik pada separuh masa pertama apabila mengikat kedudukan 0-0.


Bagaimanapun pada separuh masa kedua ketika skuad negara mempertingkatkan serangan, New Zealand tampil lebih garang apabila berjaya menjaringkan gol menerusi Elijah Just pada minit 53, Matthew Garbett minit 61, Chris Wood minit 72 dan Logan Rogerson minit 90.

Terdahulu skuad negara yang turut beraksi dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 (tertutup) menentang kelab Auckland FC yang beraksi di Liga Australia berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Dalam pada itu, Pau juga berpuas hati dengan prestasi positif pasukan sepanjang berada di New Zealand.

“Saya rasa semuanya positif terutamanya dapat lawan dengan pasukan yang lebih kuat. Ya memang mencabar tapi kita akan belajar daripadanya.”