Saya tak tahu PDRM FC pasukan ‘underdog’ tapi saya tahu pasukan ini digelar ‘Giant Killer’– Ifedayo Olusegun
Penyerang import sensasi PDRM FC, Ifedayo Olusegun memberitahu beliau tidak tahu pasukannya itu dilabel sebagai pasukan ‘underdog’ sebaliknya beliau tahu bahawa pasukan itu sebelum ini diberi jolokan sebagai ‘Giant Killer’.
Ifedayo berkata demikian selepas ditanya samada beliau lebih selesa PDRM dilabel sebagai pasukan ‘underdog’ menjelang perlawanan Liga Super menentang Selangor FC pada 19 Oktober ini.
“Saya tak tahu dengan nama ‘underdog’ tapi kalau ‘Giant Killer’ saya tahu, jadi mungkin saya perlu teruskan gelaran ini. Kami kini berada di landasan yang tepat di mana kami akan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan,”
katanya.
Beliau pada masa sama juga tidak menyifatkan aksi menentang Gergasi Merah nanti sebagai perlawanan yang sukar sebaliknya berkata ia sepatutnya menjadi perlawanan yang menarik.
Malah beliau juga berkata mereka tidak akan menggunakan percaturan yang sama seperti perlawanan menentang JDT, Terengganu, Sabah atau pasukan lain.
“Saya tidak tahu sukar atau tidak sebaliknya ia sepatutnya menjadi perlawanan yang menarik jadi saya harap peminat dapat datang untuk menyaksikan perlawanan ini.”
Dalam pada itu, Ifedayo juga yakin bahawa PDRM akan lebih baik pada pusingan kedua liga kerana pasukan sudah mempunyai keserasian yang baik.
“Ya bukan mudah untuk kami pada pusingan pertama kerana kami pasukan baru dengan kehadiran jurulatih dan suasana baru tapi kami akan lebih baik pada pusingan kedua kerana kami sudah mendapat keserasian.
Kami juga memperlihatkan prestasi yang agak baik dalam lima perlawanan terakhir, jadi saya rasa kita sudah berada di landasan tepat.”