Ibarat pisang goreng panas, pemain bola sepak Asia Tenggara laku keras!

256

Pratama Arhan menjadi nama terbaru pemain bola sepak dari Asia Tenggara yang berhijrah ke Jepun. Bek kiri berusia 20 tahun berjaya diikat oleh kelab J2, Tokyo Verdy dengan kontrak selama dua tahun.

Bukan kali pertama pemain-pemain dari Asia Tenggara mendapat perhatian pasukan-pasukan dari liga utama dunia khususnya di benua Asia sendiri. Di Jepun misalnya, Chanatip Songkrasin kini beraksi bersama pasukan Kawasaki Frontale setelah berhijrah daripada kelab Hokkaido Consodale Sapporo. Selain itu, nama-nama seperti Theerathon Bunmathan, Irfan Bachdim dan Stefano Lilipaly juga pernah membawa nama Asia Tenggara beraksi di J-League.


Peluang yang dibuka oleh liga-liga utama di Asia perlu digunakan sebaiknya oleh pemain-pemain yang berpengkalan di Asia Tenggara. Selain misi utama untuk mengembangkan karier, peluang ini harus diguna untuk mengetuk pintu pasukan-pasukan yang lebih besar jika mereka mampu untuk menunjukkan prestasi yang mengagumkan.

Dengan pendedahan beraksi di pentas dengan kualiti yang tinggi, corak permainan mereka juga akan meningkat. Pengalaman berhadapan dengan lawan yang jauh lebih baik dari segi mutu permainan sedikit sebanyak akan mempengaruhi persembahan pemain tersebut dalam perlawanan.

Bukan sekadar menjadi penumpang dalam pasukan, mereka perlu merebut tempat dalam kesebelasan utama dan menunjukkan bahawa mereka juga mempunyai kualiti yang sama tinggi dengan pemain yang sedia ada.

Jika pemain mendapat manfaat besar, begitu juga kelab yang mendapatkan mereka. Lihat sahajalah selepas mengumumkan perpindahan Pratama, Tokyo Verdy secara tiba-tiba mempunyai peningkatan pengikut yang cukup ramai dalam tempoh masa yang singkat.

Ianya membuka peluang kepada kelab-kelab ini untuk mengembangkan jenama mereka di kawasan-kawasan tertentu seperti yang berlaku kepada kelab J2 ini. Perkara ini amat bagus untuk kelab terbabit dalam usaha untuk terus kekal relevan dan diikuti perkembangannya biarpun jauh beribu batu.

Selain itu juga, kerjasama yang telah dijalankan juga akan membuka peluang kerjasama antara kedua-dua kelab yang terlibat dengan perpindahan pemain. Kerjasama daripada pelbagai sudut seperti kepakaran teknikal, pertukaran idea, scouting pemain-pemain berpotensi juga akan terjalin. Sudah pasti akan memberikan banyak manfaat untuk semua pihak bukan sahaja kelab, pemain malah juga peminat.