Hafiz Zainal akui prestasi PDRM FC agak ‘yoyo’ dan tidak boleh dibanggakan dengan kedudukan semasa

18

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM FC, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin memberitahu beliau belum berpuas hati dengan prestasi semasa pasukannya biarpun mereka kini berada di kedudukan cukup baik iaitu di tempat kelima Liga Super.

“Kita berada dalam kedudukan dan prestasi terbaik tetapi kita buang mata dengan pasukan yang tidak sepatutnya dan itulah yang terjadi.

Prestasi agak ‘yoyo’ dan tidak boleh dibanggakan dan tidak boleh terlampau seronok dengan kedudukan semasa,”

katanya.

Tambahnya lagi, tidak dinafikan mereka berada di kedudukan terbaik tetapi mereka perlu bekerja lebih keras lagi untuk mengekalkan kedudukan itu.


Dalam pada itu, Hafiz turut memberitahu beliau tidak masuk campur urusan mengenai percaturan pasukan sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada barisan kejurulatihan untuk memastikan pasukan dapat memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Saya bukan seorang yang teknikal jadi saya serahkan tugas ini kepada barisan kejurulatihan untuk buat kerja ini.

Saya tidak pernah menekan dan saya bagi kebebasan kepada semua jurulatih untuk tentukan siapa barisan pemain yang perlu diletakkan mengikut taktikal semasa diperlukan ketika itu dan sudah semestinya mereka sudah buat yang terbaik.”

PDRM menjadi sebutan ramai apabila mereka mempamerkan aksi yang cukup cemerlang termasuk berjaya menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mengikat juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam pada itu, Hafiz mengakui beliau gembira apabila PDRM yang merupakan sebuah pasukan bajet kecil mampu berada pada kedudukan ketika ini, pada masa sama turut bimbang bagaimana mereka mahu kekalkan momentum itu.

“Saya gembira dimana kami berada sekarang cuma untuk mengekalkan itu sahaja masalahnya samada pemain saya mampu berada di tahap terbaik setiap masa sepanjang masa.”

Hafiz berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sidang Media memperkenalkan Suria FC sebagai radio rasmi dan melancarkan portal rasmi PDRM FC. Penyanyi Amir Masdi dan Tiktokers terkenal Ceo Batu dan Ceo Bieziy juga dilantik sebagai Duta Rasmi kelab PDRM FC.