Jangkaan saya sangat tinggi! Mahu lihat pemain boleh bersaing di peringkat antarabangsa – Soleen Al-Zoubi

79

Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi memberitahu beliau kini meletak jangkaan sangat tinggi buat pemain-pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Malayan Tigress.

“Untuk kali ini saya teruja untuk melihat tahap pemain selepas mengharungi musim penuh Liga Wanita Nasional (LWN) yang mana banyak pemain yang mendapat banyak minit permainan terutamanya pemain daripada Sabah FA yang bermain di AFC Women’s Champions League (AWCL) baru-baru ini.

Jadi saya tak sabar nak melihat peningkatan teknikal dan taktikal pemain. Jangkaan saya sangat tinggi sekarang ini yang mana kita sedang buat persiapan untuk kelayakan Piala Asia tahun depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dengan mempunyai tempoh kira-kira setahun, Soleen turut memanggil gabungan pemain muda dan juga senior untuk memperkuatkan pasukan.


“Sebab utama mengapa saya bawa banyak pemain muda adalah kerana mereka layak yang mana mereka berjaya tunjukkan peningkatan dalam tempoh setahun ini jadi bila kita lihat pemain muda ini berpotensi besar kita perlu bawa mereka ke dalam persekitaran profesional.

Ini kerana kita mempunyai pemain yang sudah berusia lebih 30 tahun jadi sudah pastinya kita perlu gantikan pemain-pemain ini jadi kita perlu pastikan pemain muda ini bersedia untuk ganti pemain senior.”

Skuad Malayan Tigress yang memulakan kem latihan pusat semalam adalah untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Arab Saudi dan Laos bermula 20 hingga 27 Oktober 2024 di Dubai, UAE.

Dalam pada itu, Soleen juga berkata perancangan mereka adalah untuk tempoh jangka masa panjang untuk meningkatkan lagi kualiti bola sepak wanita negara.

Tambahnya lagi, beliau juga tidak meletak kemenangan pada perlawanan persahabatan nanti sebagai sasaran utama mereka.

“Hari ini kami berlatih untuk buat persiapan bagi menghadapi perlawanan persahabatan tapi ini bukanlah matlamat utama kami untuk menang perlawanan persahabatan sebaliknya mempersiapkan pasukan untuk mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan memperbaiki ranking negara.”

Sementara itu, skuad Malayan Tigress akan terbang ke Dubai pada Ahad, 20 Oktober ini.

Please rotate your device