Saya mahu buat yang terbaik dan perlu belajar kawal emosi – Ainsyah Murad
Pemain bola sepak wanita pasukan kebangsaan, Ainsyah Murad berazam mahu memberikan yang terbaik selepas mendapat peluang untuk menyarung jersi Malayan Tigress yang akan mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 tidak lama lagi.
Menurut Ainsyah, beliau menganggap peluang menyarung jersi negara sebagai peluang untuk beliau tunjukkan kemampuan beliau selepas gagal berbuat demikian ketika di Arab Saudi sebelum ini.
“Apa yang saya buat ketika di Arab Saudi belum cukup atau belum capai sasaran lagi jadi untuk kali ini saya akan buat yang terbaik dan berikan segala-galanya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Ainsyah merupakan antara pemain yang mendapat tumpuan untuk saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim ini membuatkan ramai peminat yang meletak harapan tinggi untuk dirinya pamer aksi terbaik nanti.
“Benda itu bagi saya sebagai satu cabaran buat diri. Cabaran utama adalah untuk saya kawal emosi dan insyaAllah saya akan bawa ini sebagai satu motivasi buat diri.”
Dalam pada itu, Ainsyah merupakan salah seorang daripada 24 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi bagi menyertai kem latihan pusat bermula Rabu, 16 Oktober 2024 sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Arab Saudi dan Laos bermula 20 hingga 27 Oktober 2024 di Dubai, UAE.
Skuad Malayan Tigress dijadual berlepas ke Dubai, UAE pada Ahad, 20 Oktober 2024.