Fahmi Fadzil yakin KL City FC mampu berada dalam kedudukan Top 5 Liga Super jika diuruskan dengan baik

69

Menteri Komunikasi yang juga merupakan Penaung KL City FC, YB Fahmi Fadzil yakin dengan kemampuan pasukan itu untuk berada di kedudukan Top 5 Liga Super pada musim ini sekiranya ia diuruskan dengan baik.

“Niat kita satu iaitu untuk pastikan KLFA (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur) dan KL City FC berada pada kedudukan yang baik terutamanya dari segi kewangan yang lebih stabil dan mampan yang mana beberapa perkara kita perlu teliti.

Dan harapan saya dapat memberikan ‘ease of mind’ di kalangan pemain supaya mereka dapat bermain dengan baik. Sejujurnya sekiranya ia diuruskan dengan baik, saya percaya KL City mampu berada dalam kedudukan Top 5 liga,”

katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Malam Eksklusif bersama Patron KL City FC, Presiden KLFA dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif KL yang baharu di ibu kota sebentar tadi.


Dalam pada itu, Fahmi turut memberitahu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyalurkan dana untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan pada masa sama beliau turut mendedahkan bahawa sudah ada beberapa pihak yang berminat untuk menaja pasukan.

“Kita jangkakan insyaAllah hujung bulan ini DBKL akan membantu tapi kita melihat dan teliti juga penaja korporat yang bersedia untuk bersama dan apa yang paling penting adalah meneliti beberapa isu yang bangkit sebelum ini untuk kita uruskan dengan baik.”

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai penaja korporat yang akan bersama The City Boys buat masa ini kerana ia akan diumumkan apabila semuanya sudah muktamad kelak.

Terdahulu, KL City menerusi satu kenyataan media telah memaklumkan bahawa mereka telah pun menyelesaikan tunggakan gaji sebulan kepada para pemain, jurulatih, kakitangan, termasuk sebahagian caruman KWSP, PERKESO dan LHDN.

Sementara itu, Fahmi turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan barisan kepimpinan baharu ini untuk menguruskan pasukan dengan lebih baik.