KL City FC kini merupakan pasukan elit, jadi cabaran kita untuk kekalkan tahap kompentensi yang tinggi – Stanley Bernard
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard memberitahu cabaran utama mereka ketika ini adalah untuk mengekalkan tahap kompentensi yang tinggi berikutan pasukan itu kini berstatus pasukan elit.
“Apabila saya masuk KL City pada tahun 2021 saya meletak sasaran menjadi pasukan Liga Super kerana sebelum ini kita sering jatuh ke Liga Perdana malah Liga FAM pun pernah dan sekarang ini KL City sudah menjadi pasukan elit.
Jadi saya merasakan itulah cabaran kita untuk mengekalkan tahap kompentensi yang tinggi,”
katanya.
Tambahnya lagi, KL City mempunyai nilai kesukanan yang cukup tinggi yang mana mereka telah berjaya mencipta sejarah dalam saingan domestik dan juga dalam saingan di peringkat Asia.
“Saya rasa KL City mempunyai ‘sporting values’ yang amat tinggi yang mana kita berjaya cipta sejarah di Piala AFC, antara salah satu kelab yang berjaya menang dengan JDT dalam beberapa tahun ini dan konsisten layak ke perlawanan akhir.
Malah kami juga kini berjaya mengumpul enam mata di kejohanan ASEAN Club Championship 2024/25 (ACC).”
Stanley pada masa sama turut memberitahu bahawa pihaknya akan membuat rayuan kepada First Instance Body (FIB) selepas kelab itu dikenakan pemotongan enam mata selepas didapati melakukan deklarasi tidak tepat ketika membuat permohonan lesen kelab.
Dalam pada itu, Stanley turut berasa cukup teruja melihat semangat profesional yang cukup tinggi ditunjukkan oleh pemain-pemain di bilik persalinan biarpun pasukan itu terpalit dengan kemelut tunggakan gaji.
“Bagi saya ia sangat luar biasa untuk melihat bilik persalinan seperti ini secara jujur kerana saya melihat tahap profesionalisme pemain sangat tinggi.
Apabila mereka masuk ke padang mereka mengasingkan apa yang sedang dialami. Jarang perkara ini berlaku dalam bola sepak kerana saya sendiri pernah menjadi pemain jadi saya boleh katakan banyak bilik persalinan tidak sama seperti bilik persalinan KL City.”
Oleh itu beliau menaruh harapan yang cukup tinggi kepada barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang diketuai oleh Presiden, Syed Yazid Syed Omar mereka akan bermula dengan langkah kanan.
Sementara itu, Stanley juga memberi bayangan bahawa KL City mempunyai peluang untuk mencipta kejutan pada musim ini di Piala Malaysia.
“Biarpun kita dikenakan pemotongan mata tapi saya rasa kita masih lagi berpeluang untuk mencabar kedudukan Top 5 Liga Super dan peningkatan pada beberapa perlawanan terakhir ini membuatkan saya rasa kita mampu berada di kedudukan terbaik liga pada tahun ini.
Untuk saingan Piala Malaysia kita tidak akan tahu sebab kalau suntikan itu betul, pelan tindakan masuk daripada kepimpinan baharu ‘you can never guess what this team can do’. Saya sendiri kadang kala terkejut.”