Tekanan? Semua pekerjaan ada tekanan jadi ia perkara normal – Nidzam Jamil
Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil tidak menganggap desakan daripada penyokong sebagai tekanan sebaliknya berkata ia perkara yang normal dan beliau tidak berasa tertekan langsung dengan situasi ketika ini.
Menurut Nidzam, beliau dan pemain-pemainnya sentiasa akan cuba buat yang terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi oleh mereka.
“Saya rasa semua pekerjaan ada tekanan kerana kita hidup di dunia yang semua menilai jadi apa yang penting kita berikan yang terbaik. Bagi saya dan pemain-pemain kita sentiasa mahu berikan yang terbaik untuk Selangor.
Tapi kita dinilai dari segi keputusan, kita dinilai dari segi tentang proses dan pendapat masing-masing jadi saya tidak merasakan ini sebagai tekanan.
Kita di Selangor di tempat kedua pun masih ada desakan,”
katanya.
Nidzam berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan AFC Champions League Two (ACL 2) menentang Jeonbuk Hyundai Motors di Stadium MBPJ esok.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan esok menentang gergasi dari Korea Selatan itu Nidzam berkata pasukannya sudah bersedia biarpun dua tonggak utama iaitu Safuwan Baharuddin dan Noor Rawabdeh tidak dapat diturunkan dek mengalami kecederaan.
“Kepada pemain-pemain yang akan diberi peluang ini sudah pastinya mereka perlu ‘step up’ persembahan pasukan. Untuk skuad ‘depth’ saya sangat gembira kerana kita mempunyai banyak pemain-pemain muda yang saya rasa tak sabar untuk nikmati momen-momen pada esok hari.”
Tambahnya lagi, untuk perlawanan esok beliau mahukan pemain-pemainnya berdisiplin ketika bertahan dan tajam ketika melakukan serangan.
Selangor kini berada di kedudukan kedua Kumpulan H dibelakang Jeonbuk dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri.
Gergasi Merah perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata di tempat sendiri untuk memastikan peluang mereka untuk layak ke peringkat kalah mati terbuka kerana hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan sahaja akan mara ke pusingan 16.