Malaysia bakal hilang 16 pingat dalam sukan yang diguggurkan di Komanwel 2026 – Hannah Yeoh

118

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa Malaysia bakal kehilangan 16 pingat pada temasya Sukan Komanwel 2026 yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland berikutan pihak tuan rumah hanya menyenaraikan 10 acara sukan sahaja yang akan dipertandingkan di temasya itu nanti.

“Majlis Sukan Negara (MSN) telah melihat pengumuman semalam dan jangkaan awal selepas pengumuman tersebut Malaysia bakal hilang 16 pingat dalam sukan yang diguggurkan tetapi kita hormati kerana ini adalah keistimewaan penganjur diberikan fleksibiliti untuk pilih sukan mereka.

Sama juga bila Komanwel tawarkan kepada kita untuk jadi tuan rumah yang mana mereka juga beritahu kita boleh tentukan sukan-sukan yang kita nak,”

katanya.

Temasya itu sepatutnya berlangsung di Victoria, Australia tetapi negara itu menarik diri dari menjadi tuan rumah atas sebab kewangan.


Malaysia kemudian ditawarkan untuk menggantikan Australia sebagai tuan rumah dengan geran khas diberikan untuk menganjurkan temasya tersebut tetapi ditolak kerana merasakan geran yang diberikan tidak mencukupi.

10 acara sukan yang bakal dipertandingkan adalah olahraga, renang, bola keranjang 3×3, gimnastik artistik, tinju, judo, bola jaring, basikal trek dan boling padang.

Untuk rekod, temasya 2022 di Birmingham mempertandingkan 19 acara sukan.

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Program ISNEXT 2024 yang berlangsung di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil sebentar tadi.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Program ISNEXT yang mana ia adalah kolaborasi strategik bagi menyediakan pusat penyediaan perkhidmatan, penyelidikan dan kepakaran di peringkat negeri dan wilayah.

“Hasrat kita seperti yang saya nyatakan adalah untuk memperkasa dan mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan sukan kepada atlet-atlet kita di seluruh negara.

Jadi saya bagi contoh bila kita ada pusat satelit dengan kerjasama universiti Sabah, atlet yang cedera di sana tak perlu lagi terbang ke Semenanjung untuk dapatkan perkhidmatan. Ini bukan atlet negara sahaja tetapi juga atlet-atlet negeri juga.”

Jelasnya lagi, kerjasama strategi Pusat Satelit ISN dapat menjimatkan wang dari mewujudkan ISN banyak tempat sebaliknya menggunakan kepakaran yang ada di universiti-universiti tempatan.

Empat universiti awam yang menjadi Pusat Satelit ISN adalah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sahah Alam; Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Perlis dan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).