BAM & ISN sedia untuk bantu Ng Qi Xuan – Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Institut Sukan Negara (ISN) sedia untuk membantu pemain badminton beregu profesional wanita negara iaitu Ng Qi Xuan selepas pemain itu mengalami kecederaan teruk pada aksi separuh akhir kejohanan Malaysia Super 100 baru-baru ini.
“Saya telah membaca berita dan telah meminta ISN menghubungi keluarga beliau (Qi Xuan) untuk menawarkan apa sahaja perkhidmatan yang kita ada untuk membantu tetapi pemilihan tempat untuk membuat pembedahan atau rawatan itu adalah keputusan keluarga dan hak mereka untuk memilih.
Jadi mereka masih dalam perbincangan untuk tengok kalau hospital kita kerajaan ada senarai keutamaan untuk melihat tarikh mana paling cepat untuk buat pembedahan tapi ini semua kena bincang dengan keluarga beliau terlebih dahulu.
Dan hari ini Faedzal (CEO ISN) akan berjumpa dengan ibu bapa pemain itu untuk berbincang dengan lebih lanjut. Selepas pembedahan nanti memang BAM dan ISN sudah tawarkan bantuan yang diperlukan,”
katanya.
Terdahulu, Qi Xuan mengesahkan bahawa beliau telah mengalami empat kecederaan serius iaitu anterior cruciate ligament (ACL), posterior cruciate ligament (PCL), medial collateral ligament (MCL) dan lateral collateral ligament (LCL) serta sedikit keretakan tulang.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata beliau perlu membuat pembedahan yang akan menelan kos sekitar RM25,000 hingga RM30,000 menggunakan wangnya sendiri selepas syarikat insurannya tidak melindungi kecederaan yang dialami.