Ashley Lau tampil lebih garang pada hari kedua Maybank Championship 2024
Pemain golf profesional Malaysia, Ashley Lau telah mempamerkan permainan cemerlang pada hari kedua Maybank Championship 2024 selepas berjaya mencatatkan skor 68 pukulan empat di bawah par untuk menamatkan hari kedua dengan skor keseluruhan 141 pukulan tiga di bawah par.
Aksi yang menyakinkan Ashley telah menyaksikan beliau berjaya memperbaiki kedudukan kepada T39 sekaligus memintas Mirabel Ting untuk menjadi pendahulu untuk pemain negara.
“Saya bermula agak perlahan dan merasakan saya bermain tidak baik pada ‘front 9’ yang mana saya melakukan pukulan 1 di bawah par tapi kemudian pada ‘back 9’ banyak putt saya masuk jadi saya gembira dengan perkara itu.
Pada ‘back 9’ saya bermain dengan lebih agresif jadi untuk esok (hari ketiga) saya akan turun dengan ‘game plan’ yang sama iaitu ambil kesempatan di lubang pendek dan lebih konservatif di lubang panjang,”
katanya.
Dalam pada itu, Ashley turut mengakui membuat keputusan yang tepat dalam pemilihan ‘club’ menyumbang kepada aksi cemerlangnya hari ini.
“Ya hari ini saya banyak buat keputusan yang tepat dalam pemilihan ‘club’ cuma sekali sahaja bernasib malang apabila bola saya masuk air yang mana saya agak terkejut tapi selebihnya saya rasa saya banyak buat keputusan yang tepat.”
Sementara itu, Ashley turut gembira dapat bermain dengan ramai bintang golf dunia yang mana ia secara tidak langsung dapat membuktikan bahawa beliau juga mampu bersaing dengan nama besar dunia ketika ini.