Saya akan cuba tidak panik jika ada pemain lain pintas saya esok – Maja Stark
Pemain golf profesional Sweden, Maja Stark mempamerkan permainan cukup konsisten pada hari kedua Maybank Championship 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club untuk menjadi pendahulu dengan skor 66 pukulan enam di bawah par untuk mengumpul sebanyak 132 pukulan 12 di bawah par.
Stark kini mendahului carta dengan kelebihan satu pukulan di hadapan pemain dari Amerika Syarikat iaitu Marina Alex dengan skor 11 di bawah par.
Menurut Stark, beliau akan turun beraksi pada hari ketiga dengan lebih tenang dan tidak cepat panik sekiranya ada pemain lain yang memintasnya.
“Saya rasa saya akan cuba untuk tidak panik jika orang lain memintas saya dan akan terus bermain seperti biasa.
Masih banyak golf yang perlu dimainkan dan apa-apa sahaja boleh berlaku dan apa yang pasti bukan jurang besar jadi saya akan terus melakukan apa yang saya lakukan hari ini,”
katanya.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai permainannya hari ini, Stark berkata beliau bermain dengan cukup baik hari ini dan cukup gembira apabila masalah ‘putting’ yang dihadapinya sepanjang tahun ini sudah memperlihatkan peningkatan.
Malah beliau berkata putting beliau pada kejohanan kali ini lebih baik berbanding kejohanan sebelum ini di Korea.
“Saya bermain dengan cukup baik dari tee hari ini dan saya memang bergelut dengan ‘putting’ sepanjang tahun ini tapi kali ini saya berasa cukup mudah untuk melihat ‘line’ berbanding sebelum ini.
Dapat baca ‘line’ dengan baik membuatkan saya lebih komited untuk melakukan ‘putting’ jadi ya jauh lebih mudah minggu ini.”
Ini merupakan kali kedua Stark beraksi di Maybank Championship yang mana perkara yang paling diingatinya bermain di sini adalah cuaca panas dan hujan lebat.
Beliau bagaimanapun berkata cukup gembira dapat beraksi di luar Eropah kerana dapat melihat budaya yang berbeza selain dan menikmati kecantikan negara lain.