Cukupkah ‘bekal’ RM 1 juta untuk MFL tadbir liga?
Syarikat pelaburan matawang kripto, Luno telah memeterai perjanjian bersama badan pentadbir Liga Malaysia, MFL untuk memberikan tajaan sejumlah RM 1 juta selama semusim.
Jika diamati daripada satu sudut, penajaan daripada syarikat yang terlibat dengan pelaburan matawang kripto ini seakan memberi petanda bahawa Liga Malaysia juga bersedia untuk berubah mengikut apa yang diamalkan di liga luar yang menyaksikan syarikat matawang digital menjadi penaja utama.
Sekadar mengambil contoh, pasukan-pasukan di Liga Perdana Inggeris seperti Southampton dan Watford ditaja oleh syarikat matawang kripto. Pemain-pemain kelab AZ Alkmaar yang beraksi dalam saingan Eredivise di Belanda juga dibayar gaji mereka menggunakan matawang ini. Manakala, kelab Serie C Rimini FC menggunakan matawang digital ini untuk menjual sebanyak 25% saham kelab itu.
Namun, persoalan yang akan timbul adalah apa manfaat sebenarnya kepada MFL dan pihak berkepentingan dalam Liga Malaysia?
Jumlah penajaan sebanyak hanya RM 1 juta setahun dilihat tidak mencukupi untuk mentadbir perjalanan liga. Situasi ini membayangkan seolah-olah MFL berada di pihak yang sedang mengalami kerugian.
Berbeza pula dengan syarikat pelaburan matawang digital tersebut, memandangkan Liga Malaysia memang mempunyai jumlah penonton yang tersendiri, ianya seolah-olah memberikan free marketing kepada jenama syarikat tersebut. Segala imej yang melibatkan syarikat tersebut akan digunapakai sepanjang liga berlangsung.
Untuk penajaan sebanyak hanya RM 1 juta, berbaloikah buat MFL?
Selain itu, mengapa MFL memilih syarikat ini sebagai penaja untuk kancah liga tempatan memandangkan tempoh tajaan cuma untuk setahun? Adakah ini bermaksud untuk musim yang seterusnya penaja baru pula perlu dicari memandangkan tempoh tajaan sudahpun tamat?
Di pihak MFL pula, nilai tajaan sebanyak RM 1 juta bukan satu jumlah yang besar. Menarik untuk dilihat bagaimana cara MFL untuk menguruskan sejumlah wang tersebut demi memastikan kelangsungan liga sepanjang musim 2022.