Ashley Lau tiada tekanan untuk turun beraksi pada hari terakhir Maybank Championship 2024 esok

101

Pemain golf profesional Malaysia, Ashley Lau terus mempamerkan permainan yang cukup konsisten sepanjang tiga hari kejohanan Maybank Championship 2024 apabila berjaya mencatatkan skor terendahnya hari ini dengan 66 pukulan enam di bawah par.

Aksi cemerlang Ashley itu telah berjaya melonjakkan kedudukannya ke-12 dengan skor 207 pukulan sembilan di bawah par secara keseluruhan.


“Hari ini ‘putt’ saya menjadi dan hari ini saya banyak dapat peluang birdie dan hari ini saya hanya ‘miss green’ sekali atau dua sahaja yang mana ia membantu untuk saya catat skor rendah hari ini jadi saya berasa sangat gembira dengan permainan saya,”

katanya.

Ashley bergelut pada lubang terakhir apabila dua pukulannya dari dalam bunker tidak sampai ke sasaran yang dimahukan tetapi ‘chipping’ yang dilakukannya berjaya menyelamatkannya dari menamatkan permainan dengan bogey.

Beliau pada masa sama turut teruja apabila keluarga, sahabat dan ramai peminat turun untuk memberikan sokongan sekaligus memberikannya tonik tambahan untuk beraksi dengan lebih baik di tempat sendiri.

Dalam pada itu, menjelang hari terakhir kejohanan Ashley memberitahu beliau kekal tenang dan tidak berasa tekanan langsung biarpun berpotensi untuk cipta sejarah.

“Saya akan kekalkan ‘game plan’ saya sama seperti tiga hari ini dengan tidak meletak sebarang jangkaan dan ‘enjoy’ permainan saya di sini.

Memang saya mahu bersaing pada kejohanan ini tapi pada masa sama saya juga mahu belajar daripada pemain terbaik dunia.”

Sementara itu, Ashley juga memberitahu bahawa beliau banyak belajar untuk bersabar dengan diri sepanjang tiga hari kejohanan ini banyak membantu permainannya selain sokongan daripada peminat yang hadir.