Saya lebih teruja berbanding tekanan menjelang hari terakhir esok – Jeeno Thitikul
Jaguh golf dari Thailand, Jeeno Thitikul telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang pada hari ketiga kejohanan Maybank Championship 2024 apabila berjaya mencatatkan skor terendah hari ini dengan 64 pukulan lapan di bawah par untuk berada di puncak carta.
Melakukan 200 pukulan dengan 16 di bawah par secara keseluruhan, Thitikul berkongsi kedudukan teratas bersama dua lagi pemain Ruoning Yin (China) dan Haeran Ryu (Korea Selatan).
Thitikul memberitahu bahawa beliau tidak berasa tekanan langsung menjelang hari terakhir kejohanan esok sebaliknya berasa cukup teruja.
“Saya rasa lebih teruja berbanding rasa tekanan,”
katanya.
Beliau yang merupakan naib juara pada kejohanan sama yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) pada tahun lalu yang menyaksikan beliau tewas pada aksi ‘play-off’ sebanyak sembilan lubang kepada Celine Boutier.
Oleh itu Thitikul berharap perkara saya tidak akan berulang tapi berkata apa sahaja boleh berlaku esok.
“Saya harap apa yang berlaku tahun lepas tidak jadi pada tahun ini kerana ‘play-off’ sembilan lubang terlalu lama tapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok.
Tapi apa yang saya akan cuba buat adalah mempamerkan aksi yang baik dan ‘put on a show’ kepada peminat yang hadir dan cuba yang terbaik. Itu sahaja yang saya mampu lakukan.”
Dalam pada itu, Thitikul mengakui pukulan tee yang bagus pada hari ini banyak membantunya untuk mendapatkan skor yang rendah hari ini.
“Hari ini permainan saya cukup baik dengan pukulan tee saya mendarat di ‘fairway’ berbanding semalam yang mana saya separuh pukulan saya tersasar.
Jadi pukulan yang baik hari ini memberi saya peluang untuk melakukan birdie.”
Sementara itu, Thitikul akan turun beraksi pada hari terakhir bersama dua pendahulu bersama iaitu Ruoning Yin dan Haeran Ryu.