Ashley Lau buktikan beliau mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia

57

Pemain golf profesional Malaysia, Ashley Lau telah membuktikan bahawa dirinya mampu untuk bersaing dengan pemain-pemain terbaik dunia LPGA (Ladies Professional Golf Association) selepas menamatkan hari terakhir kejohanan Maybank Championship 2024 di kedudukan ke-22 dengan skor 278 pukulan 10 di bawah par secara keseluruhan.

“Hari ini saya bermain dengan agak perlahan kerana tidak dapat banyak masukkan putt tapi saya gembira dengan permainan saya pada hari terakhir hari ini.

Saya telah membuktikan yang saya mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia jadi ia membuatkan saya lebih berkeyakinan dan tahu yang saya mampu melakukannya,”

katanya.

Bercerita lanjut mengenai permainannya hari ini, Ashley memberitahu bahawa beliau terlepas untuk melakukan birdie.


“Ya saya terlepas beberapa putt 10 dan 12 kaki. Anda tidak akan selalu memasukkan semua, jadi ya.”

Pada aksi terakhir telah menyaksikan Ashley bermain dengan rakan senegara Mirabel Ting yang terus mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menjadi pemain terbaik Malaysia di kejohanan ini biarpun merupakan pemain berstatus amatur.

Dalam pada itu, Ashley turut teruja dengan jumlah peminat yang hadir hari ini yang mana ia membuatkannya lebih bersemangat terutamanya bermain di tempat sendiri. Malah beliau menyifatkan pengalaman berharga beraksi di pentas tertinggi ini akan memacu keyakinannya menjelang Q-Series.

“Sekali lagi kejohanan ini merupakan satu pendedahan yang cukup baik bagi saya dan harapnya ini memberi petanda bahawa mungkin inilah yang saya akan lakukan pada masa depan.

Tapi saya rasa, ya, ini adalah pemacu keyakinan yang hebat menjelang Q-Series.”

Kejohanan empat hari yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC)  telah menyaksikan pemain dari China, Ruoning Yin berjaya julang trofi kejuaraan sekaligus membawa pulang USD450,000 (lebih RM1.9 juta).