Bintang amatur negara Mirabel Ting cipta sejarah tersendiri di Maybank Championship 2024
Bintang golf amatur Malaysia iaitu Mirabel Ting telah mempamerkan permainan yang cukup menakjubkan sepanjang empat hari kejohanan Maybank Championship 2024 selepas beliau berjaya meletakkan dirinya di kedudukan ke-12 daripada 78 pemain yang bertanding.
Mencatatkan skor 70 pukulan dua di bawah par pada hari terakhir menyaksikan beliau menamatkan kejohanan dengan skor 276 pukulan 12 di bawah par sekaligus menjadi pemain terbaik Malaysia pada kejohanan kali ini.
“Saya rasa secara keseluruhan saya telah melakukan dengan baik minggu ini dalam menangani tekanan dan penonton. Saya tidak menjangkakan diri saya dapat mengendali tekanan seperti itu.
Banyak yang saya pelajari dari minggu ini terutamanya dapat bermain dalam kejohanan LPGA (Ladies Golf Professional Association) pertama saya. Jadi ini adalah minggu yang sangat baik,”
katanya.
Menurut Mirabel, beliau berasa cukup beremosi hari ini apabila tidak dapat bermain di hadapan mendiang ayahnya namun tetap gembira dapat bermain di hadapan penonton tempatan.
“Saya rasa agak emosional apabila semua orang ada di sini tetapi ayah saya tiada kerana beliau telah meninggal dunia dua tahun lalu. Untuk dapat melakukan ini di hadapan penonton tempatan dan mendapat sokongan ia sangat bermakna bagi saya.
Saya pasti ayah saya sedang melihat saya dari atas dan saya rasa beliau akan bangga dengan saya hari ini.”
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perasaannya apabila berjaya menjadi pemain Malaysia terbaik pada kejohanan LPGA sebagai pemain amatur, Mirabel berasa cukup gembira dan ia membuatkannya lebih berkeyakinan untuk masa hadapan.
“Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya bagi saya untuk dapat beraksi minggu ini di pentas besar. Saya akhirnya percaya dan yakin dengan diri saya bahawa saya boleh melakukan perkara besar di pentas besar.”
Sementara itu, Mirabel turut memasang impian untuk mewakili negara pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti selepas tamat pengajian di Florida, Amerika Syarikat.
“Ya sudah pasti kerana itu adalah salah satu matlamat saya dan salah seorang rakan saya, Michelle, beliau seperti kakak bagi saya dan beliau beraksi di Olimpik 2016 Rio dan saya bercakap dengannya bahawa saya sasar untuk ke Olimpik Los Angeles 2028 selepas tamat pengajian pada 2026.”