Ruoning Yin pamer aksi tenang untuk julang trofi Maybank Championship 2024
Pemain golf muda dari China, Ruoning Yin telah menjadi perhatian dunia golf selepas beliau berjaya menjadi juara kejohanan Maybank Championship 2024 sebentar tadi selepas mencatatkan skor 65 pukulan tujuh di bawah par untuk mengumpul 265 pukulan dengan 23 di bawah par secara keseluruhan.
Ruoning Yin tidak menang dengan mudah sebaliknya perlu bekerja keras sehingga ke lubang terakhir untuk bersaing dengan rakan baiknya iaitu Jeeno Thitikul sebelum mengesahkan kejuaraan selepas berjaya mendapatkan birdie.
“Apa yang saya boleh katakan adalah ia satu persaingan yang cukup sengit dan Jeeno amat baik dan ia telah membawa versi terbaik diri saya.
Bagi saya untuk hari kunci kejayaan utama adalah untuk bersabar dan tenang kerana saya bermula dengan agak baik di ‘front 9’ tapi mula bergelut pada lubang 12 yang mana saya mempunyai beberapa peluang untuk melakukan birdie di lubang 14, 15, 16 dan juga 17 tapi gagal melakukannya.
Apabila saya terlepas ‘green’ di lubang 16 kedi saya beritahu ‘awak bermain dengan baik cuma perlu bersabar dan ‘putt will drop’ jadi saya sangat gembira saya kekal bersabar,”
katanya.
Ini merupakan kejohanan ketiga LPGA (Ladies Professional Golf Association) yang dimenanginya pada musim 2024 ini selepas Buick LPGA Shanghai dan Dow Championship.
Dalam pada itu, pemain golf berusia 22 tahun ini kini sudah sebaris dengan pemain elit seperti Nelly Korda, Hannah Green dan beberapa lagi yang mana beliau berasa cukup gembira selepas bergelut pada awal musim.
“Musim ini saya banyak belajar yang mana mental saya semakin meningkat kerana awal tahun lalu saya cukup berasa cukup tertekan dan bergelut dengan prestasi kerana saya cemerlang pada tahun sebelumnya jadi saya letak tekanan tinggi pada diri saya samada saya dapat menang lagi atau tidak.
Bagaimanapun pada pertengahan musim say amula sedar bahawa saya memang cintakan golf, saya sangat suka bermain dalam jelajah ini bersama rakan-rakan saya dan mahu seronok dengan kehidupan saya dapat bermain golf.
Walau apa pun sasaran, saya perlu sentiasa gembira untuk mencapainya jadi saya gembira dapat melakukannya.”
Sementara itu, kejohanan yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) itu menyaksikan Ruoning Yin berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai USD450,000 (lebih RM1.9 juta).