Malayan Tigress di landasan tepat untuk cipta sejarah di Piala AFF Wanita 2024
Kecewaan berganda buat peminat bola sepak tanah air apabila terbaru pasukan kebangsaan B-17 gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2025 selepas mengakhiri perlawanan peringkat kelayakan di tangga kedua selepas bawa pulang satu mata sahaja.
Terdahulu hasrat skuad negara B-20 untuk beraksi di Piala Asia B-20 2025 turut terkubur selepas cubaan untuk merebut tiket menerusi slot tempat kedua terbaik tidak kesampaian dek keputusan menentang pasukan tercorot kumpulan tidak dikira.
Mungkin ada sinar di hujung terowong! Disebalik kemerosotan bola sepak lelaki sejak kebelakangan ini namun bola sepak wanita negara pula memperlihatkan peningkatan yang cukup positif sejak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik Soleen Al-Zoubi sebagai ketua jurulatih yang baharu.
Terbaru skuad Malayan Tigress baru sahaja pulang dari Dubai, UAE selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Arab Saudi dan Laos yang mana mereka pulang dengan satu kemenangan dan satu seri.
Bagaimanapun bukan kemenangan yang dicari oleh Soleen untuk dua aksi persahabatan kali ini sebaliknya beliau menggunakan dua perlawanan tersebut untuk menguji gabungan pemain senior dan pemain baru yang dipanggil untuk memperkuatkan pasukan dan ternyata objektif tercapai.
Dua perlawanan persahabatan itu merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan menghadapi cabaran Piala AFF Wanita 2024 di Laos yang dijadualkan berlangsung 23 November depan.
Bercakap kepada Harimau Malaya baru-baru ini, Soleen memberitahu mereka kini mempunyai tanggungjawab yang cukup besar untuk kejohanan Piala AFF kali ini.
Tidak dapat dianafikan skuad wanita negara ketika ini bukan lagi pasukan ‘pelengkap jadual’ sebaliknya sudah mampu beri cabaran sengit kepada pasukan yang ditentang dan Piala AFF nanti akan dijadikan sebagai pentas untuk tunjukkan taring sebenar mereka.
Skuad negara telah diundi dalam Kumpulan B bersama Kemboja dan Indonesia yang mana Soleen menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan skuad negara untuk pergi lebih jauh pada kejohanan kali ini.
Untuk kejohanan AFF, sasaran pertama mereka adalah cuba untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.
Melihat kepada prestasi semasa skuad negara yang mana mereka kini berada di landasan tepat maka tidak mustahil untuk mereka mencipta sejarah tersendiri di Piala AFF nanti, jadi sama-sama kita nantikan.
Sementara itu, melihat keadaan semasa bola sepak wanita dijangka mampu menjadi lebih besar lagi di masa hadapan dengan pembangunan pemain muda kini giat dilakukan baik dari pihak badan induk bola sepak negara mahu pun dari pihak akademi bola sepak di seluruh negara.
Dengan wujudnya saingan Liga Wanita Nasional (LWN) yang semakin kompetitif menjadi platform buat pemain memperlihatkan kehebatan mereka.
Tidak hanya skuad negara sahaja yang cemerlang, sebaliknya pasukan bola sepak wanita Sabah FA juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila mereka berjaya melayakkan diri ke kejohanan berprestij di Asia iaitu AFC Women’s Champions League (AWCL) yang mana mereka berjaya bawa pulang satu mata dalam aksi peringkat kumpulan.
Biarpun terdapat jurang yang ketara dengan negara-negara Asia lain, namun hari demi hari bola sepak wanita negara memperlihat peningkatan yang positif dan sekiranya sokongan penuh diberikan tidak mustahil Malaysia mampu menjadi kuasa besar di rantau Asia Tenggara satu hari nanti.
Secara keseluruhannya, walaupun terdapat cabaran tetapi pasukan bola sepak wanita negara menunjukkan potensi yang besar untuk masa depan dengan harapan untuk meraih lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.