Pengurusan akan ‘assist’ apa yang pemain perlu untuk berjuang di ‘play-off’ MPL MY – Soloz

121

Pengasas pasukan e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Team Vamos, Soloz memberitahu bahawa pihak pengurusan pasukan akan memberi sokongan penuh dan akan cuba untuk bantu apa sahaja yang diperlukan oleh pemain-pemainnya aksi ‘play-off’ Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) musim ke-14.

Menurut Soloz, pihaknya pada mulanya hanya meletak sasaran untuk Team Vamos untuk mara ke peringkat ‘play-off’ MPL MY sahaja tetapi pemainnya pula pasang impian untuk kejar slot ke M6 World Championship.


“Sasaran saya sebelum ini memang untuk masuk ‘play-off’ saja sebab kita nak dapatkan tempat ke musim depan tapi pemain-pemain itu sendiri yang bersemangat nak ke M6 jadi kita tak boleh nak halang perkara itu.

Jadi kita harap mereka akan buat yang terbaik dan kami dari pihak pengurusan akan sokong dan ‘assist’ apa yang mereka perlu untuk berjuang di ‘play-off’ MPL nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Team Vamos yang menamatkan saingan ‘regular season’ MPL MY musim ke-14 di tangga kedua telah berjaya layak ke ‘play-off’ Upper Bracket yang mana ia akan berlangsung pada 31 Oktober ini di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor.

Dalam pada itu, Soloz memberitahu pihak pengurusan sudah pun menyediakan habuan sekiranya pasukan mereka berjaya menjuarai MPL.

“Andai kata pemain Vamos buat yang terbaik dan menjadi juara MPL MY musim ini kita akan bawa mereka pergi umrah.”

Sementara itu, Soloz turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminat yang sentiasa berada di belakang sejak hari pertama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di MLBB Malaysia Creator Awards Ceremony 2024 di Le Meridien, Petaling Jaya.