Kualiti buat Raja Imran pilih guna kasut bola Skechers
Pemain bola sepak Bunga Raya Damansara FC (BRDFC), Raja Imran memberitahu kualiti bagus dan keselesaan menjadi faktor utama beliau bersetuju untuk menyertai keluarga Skechers sebagai duta jenama tersebut.
“Bagi saya sudah pastinya berasa bangga kerana kualiti kasut bola Skechers memang bagus dan seperti yang saya katakan tadi ketika saya pakai waktu latihan pagi tadi memang selesa jadi saya sangat berpuas hati dengan produk dari Skechers,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Raja Imran mengakui setiap pemain mempunyai pilihan mereka tersendiri apabila bercakap mengenai kasut bola kegemaran mereka tetapi baginya biarpun kali pertama menyarung kasut bola Skechers beliau tidak mengambil masa lama untuk berasa selesa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi kasut bola sepak dari Skechers yang berlangsung di Football Republic Pavilion Elite, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Raja Imran berasa cukup teruja dan bangga apabila dipilih sebagai duta untuk kasut bola Skechers dan berharap kerjasama ini dapat berpanjangan.
“Saya gembira dengan pelantikan ini dan saya berharap selepas ini saya dapat gunakan produk-produk Skechers yang lain seperti pakaian, kasut lari dan lain-lain.”
Selain Raja Imran, Skechers turut melantik tiga lagi pemain bola sepak terkemuka tanah air untuk menjadi duta jenama itu.